KEMAMAN, 28 November - Seorang nelayan tempatan berhadapan detik cemas apabila bot yang dinaiki karam di perairan Pulau Kapas petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi bin Abd Rashid berkata, Zon Maritim Kemaman telah menerima aduan daripada bot tunda Macallan 9 yang dalam perjalanan dari Thailand menuju ke Indonesia, menemui dan menyelamatkan satu mangsa bot karam.
Bot Penggalang 16 diatur gerak untuk mengambil mangsa daripada bot tunda Macallan 9 di posisi 10 batu nautika dari Kuala Kemaman. Sebelum kejadian mangsa, Mohd Nasir bin Othman, 45, telah ke laut seorang diri untuk memancing dan bot yang dinaiki terbalik akibat dipukul ombak besar.
Mangsa terapung dengan berpaut pada bot yang hampir tengelam sehingga ditemui dan diselamatkan oleh kru bot tunda Macallan 9, mangsa seterusnya dipindahkan dari bot tunda Macallan 9 ke bot Penggalang 16 untuk dibawa ke Jeti Zon Maritim Kemaman bagi rawatan susulan.
Bot Penggalang 16 bersama mangsa tiba di Jeti Zon Maritim Kemaman pada jam 3.40 pagi dan dipindahkan ke ambulan untuk dibawa ke Hospital Kemaman.
Maritim Malaysia menasihatkan komuniti maritim supaya menyediakan peralatan keselamatan sebelum ke laut dan sentiasa memakai jaket keselamatan semasa berada di laut.