GAGAL LAPOR PERTUKARAN NAKHODA, BOT PENUMPANG DITAHAN

GEORGETOWN, 6 September - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menahan sebuah bot penumpang disyaki gagal melaporkan kepada pegawai pelabuhan berkenaan pertukaran nakhoda petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak bin Mohamed berkata, bot penumpang yang berpangkalan di Weld Quay itu ditahan oleh bot ronda Maritim Malaysia ketika dalam perjalanan pulang dari Perai ke pangkalannya pada kedudukan 0.6 batu nautika barat sungai Perai lebih kurang jam 2.40 petang semalam ketika rondaan OP PERTIWI /OP BENTENG LAUT.

Bot penumpang yang dikendalikan oleh dua warga tempatan berumur 71 dan 32 tahun itu gagal mengemukakan dokumen pemakluman pertukaran nakhoda semasa pemeriksaan dilakukan.

Bot tersebut kemudian diiringi ke Jeti Polis Marin Batu Uban dan nakhoda serta kru terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk siasatan lanjut.

Kes akan disiasat di bawah kesalahan Seksyen 477 (2) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, iaitu gagal melaporkan pertukaran nakhoda kepada pegawai pelabuhan. Jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM 1000.00 atau penjara tidak lebih 10 hari atau kedua-duanya sekali.

Maritim Malaysia ingin menegaskan kepada semua pemilik dan nakhoda bot supaya sentiasa memastikan segala prosedur dan peraturan yang ditetapkan. Maritim Malaysia akan sentiasa memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara dipelihara.

Sebarang aduan salah laku jenayah maritim di laut atau sebarang kecemasan segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999.

WhatsApp_Image_2021-09-05_at_11.13.22_PM.jpeg