CARILAMAT: NELAYAN DISYAKI JATUH LAUT  DI GEBENG

KUANTAN, 9 Ogos - Seorang nelayan tempatan dilaporkan hilang pada kedudukan kira-kira 14 batu nautika timur Gebeng, Kuantan petang semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Haji Amran bin Haji Daud berkata berkata, sebaik sahaja menerima laporan daripada Maritime Rescue Sub–Centre (MRSC) Kuantan, bot ronda Maritim segera diatur gerak ke titik koordinat aduan bagi melaksanakan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) bermula jam 4.00 petang semalam.

Pengadu Tengku Daud bin Tengku A Bakar memaklumkan mangsa Ishak bin Muda, 60, bersama rakan-rakan telah keluar ke laut pada 7 Ogos pagi kelmarin dengan bot pukat jerut bersama kru yang lain dan bot merapat ke Jeti Kompleks Kemunting pagi semalam.

Kehilangan mangsa disedari oleh tekong setelah tiba di jeti pagi semalam dan usaha-usaha mencari mangsa di jeti serta daratan telah dilakukan oleh rakan-rakan kru namun gagal menemui mangsa.

Mangsa yang kali terakhir dilihat berseluar pendek berwarna gelap dan tidak berbaju itu disyaki telah jatuh laut di lokasi penangkapan ikan.

Maklumat kehilangan mangsa turut disalurkan kepada agensi sahabat serta komuniti nelayan tempatan bagi membantu pencarian di sekitar lokasi.

CARILAMAT hari pertama ditangguhkan sekitar jam 7.30 malam semalam berikutan cuaca gelap menyukarkan penglihatan.CARILAMAT  disambung semula seawal jam 7.00 pagi ini dengan keluasan sektor pencarian sasaran merangkumi 35 batu nautika persegi.

Sebarang maklumat berkaitan kejadian kecemasan kegiatan jenayah atau di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999.

 fce831c7 00f3 49bd 970c c40f0812a968