BOT NELAYAN TEMPATAN, 6 KRU VIETNAM TERMASUK OKU DITAHAN

KUANTAN, 8 Ogos - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang telah menahan sebuah bot nelayan tempatan yang disyaki melanggar undang-undang pada jarak kira- kira 24.2 batu nautika timur muara Sungai Nenasi Rompin, tengahari semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Haji Amran bin Haji Daud berkata, semasa rondaan Op Makmur di perairan Pahang, aset Maritim Malaysia telah mengesan sebuah bot yang sedang menjalankan aktiviti perikanan dalam keadaan mencurigakan dan cuba melarikan diri sebaik dihampiri aset Maritim Malaysia.

Selepas berjaya ditahan, pemeriksaan mendapati bot nelayan tempatan itu dikendalikan enam kru termasuk tekong yang kesemuanya warga Vietnam berumur antara 26 sehingga 53 tahun. Salah seorang kru adalah Orang Kelainan Upaya.

Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen dan mengemukakan dokumen pengenalan diri yang meragukan.

Kesemua kru termasuk tekong telah diiring ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading bersama peralatan menangkap ikan serta hasil laut dan akan menjalani ujian saringan COVID-19 oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia di Klinik Kesihatan Rompin sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan di laut komuniti maritim boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999.

6e045bda 12e2 40f3 90e8 8b8e84fd8a0d   7651faae f4e1 4697 85fb ebf071cbdaa2