KUANTAN, 4 Mei - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang telah menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C pada jarak kira- kira 1.7 batu nautika tenggara Kuala Kuantan tengahari semalam.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Haji Amran bin Haji Daud berkata, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan Op Makmur di sekitar perairan Kuala Kuantan, telah mengesan sebuah bot nelayan tempatan bergerak dalam keadaan mencurigakan dan cuba melarikan diri sebaik dihampiri aset Maritim.
Selepas berjaya ditahan, pemeriksaan mendapati bot dikendalikan lima kru termasuk tekong warga Myanmar, berumur antara 24 sehingga 42 tahun dan disyaki melakukan kesalahan kerana tidak mempunyai permit kerja yang sah serta lesen vesel telah tamat tempoh.
Kesemua mereka bersama peralatan menangkap ikan dan hasil laut yang dianggarkan seberat 400 kilogram ditahan dan diiring masuk ke jeti Pusat Tahanan Vesel Maritim Kuantan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya.
Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki telah melanggar syarat lesen dan syarat pas kerja.
Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim terutamanya komuniti nelayan agar sentiasa mematuhi undang-undang serta syarat sah lesen dan mengutamakan keselamatan apabila berada di laut dengan sentiasa memakai jaket keselamatan.
Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan terus ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999.
![]()