BOT DAN BARGE DITAHAN ATAS PELBAGAI KESALAHAN

MIRI, 22 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri telah menahan sebuah bot tunda dan barge dengan muatan kayu “plywood” atas pelbagai kesalahan petang semalam.

WhatsApp Image 2021 03 22 at 10.14.51

Kepten Maritim Md. Fauzi bin Othman berkata, ketika aset Maritim Malaysia sedang melakukan rondaan Op Permai pada jam lebih kurang 4.00 petang semalam, telah mengesan sebuah bot tunda sedang menunda sebuah barge yang mencurigakan pada jarak 7.0 batu nautika barat laut dari Tanjung Lobang.

Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua vesel tersebut mendapati mereka telah gagal mengemukakan dokumen pas pelepasan pelabuhan (Port Clearance) dan telah mengemukakan 'Domestic Ship License' (DSL) yang telah tamat tempoh.

Lapan kru ditahan terdiri daripada tiga lelaki warga tempatan, tiga lelaki warga Indonesia dan dua lelaki warga India berumur lingkungan 24 hingga 54 tahun. Kesemuanya memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Bot tunda, barge serta lapan kru tersebut ditahan dan diiring ke kawasan bersauh Baram untuk siasatan lanjut. Kes akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana gagal mengemukakan dokumen Pas Pelepasan Pelabuhan (Port Clearance) semasa pelayaran dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana DSL tamat tempoh.

Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim (industri perkapalan) dan nelayan agar sentiasa mematuhi undang-undang dengan mengutamakan keselamatan mereka apabila berada di laut serta pemakaian jaket keselamatan.

Orang ramai disaran menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri ditalian 085-418204 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam.