KAPAL TANGKI DIESEL DITAHAN ATAS PELBAGAI KESALAHAN

MIRI, 21 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri telah menahan sebuah kapal tangki minyak yang mencurigakan di perairan Miri pada jarak lebih kurang 20 batu nautika barat laut dari Kuala Sibuti.

WhatsApp Image 2021 03 20 at 17.42.28

Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Md. Fauzi bin Othman berkata, ketika aset Maritim Malaysia sedang melakukan rondaan Op Permai pada jam lebih kurang 8.05 pagi semalam, telah mengesan satu vesel yang mencurigakan dan hasil pemeriksaan mendapati vesel tersebut disyaki telah melakukan beberapa kesalahan, antaranya gagal mengemukakan sebarang dokumen kecuali 'ship registry', tiada 'Domestic Ship License' (DSL) , tiada pelepasan pelabuhan serta tiada Borang C.

Kapal tersebut dikatakan dalam pelayaran menuju ke Bintulu dengan dikendalikan oleh tiga kru termasuk tekong, yang kesemuanya warga Indonesia berumur lingkungan 31 hingga 34 tahun, memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Kesemua kru, kapal serta anggaran diesel sebanyak 15,000 liter yang bernilai lebih kurang RM 33,000.00 itu ditahan dan diiring masuk ke Jeti Pusat Tahanan Vesel (PTV) Zon Maritim Miri untuk siasatan lanjut.

Kes akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Akta Kastam 1967 dan Akta Petroleum (Langkah-Langkah Keselamatan) 1984.

Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan dan mengutamakan keselamatan apabila berada di laut dengan sentiasa memakai jaket keselamatan.

Orang ramai disaran menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri ditalian 084-613292 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam.