BOT NELAYAN KELAS C DITAHAN: PERMIT KRU WARGA ASING TAMAT TEMPOH.

MIRI, 12 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri telah menahan sebuah Bot Nelayan Tempatan (BNT) Kelas C yang disyaki sedang melakukan aktiviti perikanan pada jarak lebih kurang 12 batu nautika dari barat laut Tanjung Lobang.

 

WhatsApp Image 2021 03 12 at 09.28.45
Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Md. Fauzi bin Othman berkata, bot tersebut telah ditahan oleh aset Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan Op Permai di sekitar perairan Miri pada jam lebih kurang 1.15 petang semalam.


Bot itu dikendalikan empat orang kru termasuk tekong, yang mana tiga daripadanya warganegara Indonesia dan seorang lagi warga tempatan yang berumur diantara 25 hingga 44 tahun. Hasil pemeriksaan lanjut terhadap dokumen bot tersebut mendapati bot gagal mengemukakan permit menggunakan kru warga asing yang sah.


“Kesemua kru, bot dan peralatan menangkap ikan seterusnya ditahan dan diiring masuk ke Jeti Pusat Tahanan Vesel (PTV) Zon Maritim Miri untuk siasatan lanjut. Kes akan disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana disyaki melanggar syarat pada lesen kerana permit menggunakan atau menggaji kru warga asing yang telah tamat tempoh," tambah Fauzi.


Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim terutamanya komuniti nelayan agar sentiasa mematuhi undang-undang serta syarat sah lesen dan mengutamakan keselamatan apabila berada di laut dengan sentiasa memakai jaket keselamatan.

Orang ramai disaran menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri ditalian 084-613292 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di
talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam.