BOT KARAM DI PERAIRAN TANJUNG PO, EMPAT DIJUMPAI SELAMAT

KUCHING, 12 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sarawak telah menerima laporan awam mengenai kejadian sebuah bot nelayan karam pada jarak lebih kurang 3.5 batu nautika dari Tanjung Po, pada jam 12.55 tengahari semalam.

WhatsApp Image 2021 03 11 at 15.48.10

 

Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman bin Md Yunus berkata, empat mangsa merupakan lelaki warga tempatan berumur dalam lingkungan 26 hingga 56 tahun itu, telah diselamatkan oleh sebuah sampan yang melalui kawasan tersebut dan terus membawa semua mangsa ke jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS).

 

WhatsApp Image 2021 03 11 at 17.25.05

 

Setiba dijeti, mangsa telah diberikan rawatan awal dan keperluan asas oleh anggota Maritim Malaysia, sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Bako.  Pihak klinik memeriksa Semua mangsa dan mendapati  tiada sebarang kecederaan serta dalam sihat dan dibenarkan pulang.

Menurut mangsa, mereka keluar ke laut menaiki sebuah bot nelayan tempatan kelas B dari Jeti Nelayan Kampung Beladin sekitar jam 4.00 pagi semalam.

Pada jam lebih kurang 8.00 pagi, secara tiba-tiba ombak besar melanda dan menyebabkan bot yang dinaiki pecah dan tenggelam. Kesemua mangsa tidak sempat untuk memakai jaket keselamatan dan telah berpaut pada sebatang kayu selama lebih kurang empat jam sebelum diselamatkan oleh sebuah sampan yang melalui kawasan tersebut.

 

WhatsApp Image 2021 03 11 at 15.48.08

 

Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim agar batalkan niat ke laut sekiranya cuaca buruk dan sekiranya keadaan mendesak untuk ke laut, utamakan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan memandangkan keadaan cuaca di laut pada masa ini yang kurang baik.

Maritim Malaysia  sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh Komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak ditalian 082-432544.