KM SATRIA TAHAN BOT VIETNAM KLON NOMBOR PENDAFTARAN BOT TEMPATAN

KUANTAN, 7 Mac - Sebuah bot nelayan asing Vietnam yang menggunakan nombor pendataran tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang di kedudukan lebih kurang 40 batu nautika di perairan Pahang, awal pagi semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pahang Laksamana Pertama Maritim Datuk Haji Amran bin Haji Daud berkata, semasa rondaan OP KUDA LAUT di perairan Pahang, KM SATRIA telah mengesan dua bot yang mencurigakan sedang menjalankan aktiviti penangkapan ikan dan disyaki bot nelayan asing.

KM SATRIA bertindak menghampiri dan kedua-dua bot tersebut bertindak memadamkan lampu dan cuba melarikan diri.  Namun KM SATRIA berjaya memintas sebuah bot yang mempamerkan nombor pendaftaran tempatan PAF 4286 pada kedudukan kira- kira 40 batu nautika di timur laut Kuala Rompin, awal pagi semalam.

Semasa pemeriksaan dilakukan, tekong telah menunjukkan dokumen lesen vesel dan peralatan menangkap ikan, namun pasukan geledah Maritim Malaysia mendapati dokumen tersebut meragukan berikutan nombor siri enjin bot berbeza dengan yang tercatat di dalam lesen.

Pemeriksaan ke atas 25 kru termasuk tekong mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan kesemuanya disyaki warga Vietnam berumur antara 19 hingga 59 tahun.

Hasil pemeriksaan terhadap bot tersebut menemui peralatan menangkap ikan serta hasil laut dengan keseluruhan nilai dianggarkan RM1.5 juta.

Bot, peralatan menangkap ikan, hasil tangkapan serta 25 kru ditahan  dan diiring  masuk ke Zon Maritim Kemaman untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan selanjutnya.

Kes akan disiasat di bawah seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 yang membawa hukuman denda sehingga RM6 juta ke atas tekong dan RM600,000 ke atas setiap kru kerana tidak memiliki sebarang permit untuk beroperasi di perairan di Malaysia.

Kes juga akan disabitkan dengan  Akta Imigresen 1959/1963 Seksyen 6(1)(c) yang membawa denda RM10,000 atau penjara 5 tahun atau kedua-duanya serta boleh dikenakan sebatan tidak lebih enam sebatan kerana tidak mempunyai pengenalan diri yang sah. 

Menurut Amran, menggunakan nombor pendaftaran palsu atau bot klon menjadi salah satu modus operandi nelayan Vietnam untuk mengaburi pihak berkuasa.  Namun sifat dan struktur fizikal bot nelayan Vietnam berbeza dengan bot nelayan tempatan serta tindakan mereka yang mencurigakan membolehkan penguat kuasa mengesan atau menghidu aktiviti mereka di perairan negara

Masyarakat diseru untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan terus ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999.

1   2