Kuantan, 1 Mac - Mangsa lemas terakhir yang dilaporkan hilang ketika mandi di Pantai Sungai Ular, 27 Februari lalu, ditemui jam 12.45 tengah hari, semalam.
Mangsa Mohd Fazrul Hakimi bin Mohd Ariffin, 11, dijumpai orang awam kira-kira 500 meter dari tempat kejadian dan dengan penemuan mayat mangsa terakhir itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pada jam 1.30 petang, semalam.
Dalam kejadian petang Sabtu lalu, mangsa dikatakan bersama ahli keluarganya ke pantai berhampiran kediaman mereka iaitu Kuarters Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ular. Jarak antara kediaman mereka dengan pantai sekitar 200 meter.Mereka berempat dipercayai turun bermain di pantai kira-kira jan 5.30 petang dan didapati lemas sekitar jam 5.45 petang.
Walau bagaimanapun seorang mangsa Fitrah Dhia Zulaikha binti Zaidi ,13, berjaya diselamatkan oleh penduduk tempatan, namun meninggal dunia selepas diselamatkan. Dua lagi mayat ditemui di sekitar tempat kejadian pada lebih kurang jam 6.00 petang, Sabtu lalu. Mayat yang temui dikenali sebagai Fitrah Dhia Zahraa binti Zaidi , 9 tahun dan Nor Najwa binti Ariffin ,13 tahun.
Terdahulu, Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Pahang, Kepten Maritim Mohamad Suhairy bin Hussain berkata, sebaik Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan menerima panggilan MERS 999 berkenaan kejadiaan, Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) segera diaktifkan bagi operasi pencarian seorang lagi mayat yang masih belum ditemui, ketika itu.
Operasi mencari dan menyelamat turut melibatkan beberapa agensi antaranya Maritim Malaysia, Bomba, Polis Marin, Angakatan Pertahanan Awam Malaysia dan nelayan tempatan juga turut serta dalam pencarian ini.
Suhairy mengingatkan orang ramai dan penduduk sekitar supaya berhati- hati dan berwaspada apabila beriadah di pantai memandangkan musim tengkujuh masih lagi belum berakhir dangan laut bergelora dan angin kuat.
Sebarang aduan dan kecemasan dilaut boleh dilaporkan melalui talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345.