KUANTAN, 20 Februari - Maritim Malaysia melakukan penerbangan ihsan menghantar seorang pesakit yang mengalami strok dan sawan dari Pulau Tioman, Rompin ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini tengahari ini.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kuantan menerima email pada jam lebih kurang 7.30 pagi daripada Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman, Dr. Nor Azlah Binti Mohamad Azhar memaklumkan seorang pesakit memerlukan penerbangan ihsan dan memerlukan rawatan segera.
“Pesakit Kamarolzaman bin Ismail 70, mengalami sawan dan kemungkinan strok kali kedua dan memerlukan pegimejan segera untuk memastikan tiada pendarahan dalam otak yang boleh menyebabkan kematian jika tidak dirawat segera.
Amran berkata, helikopter jenis Agusta AW139 milik Maritim Malaysia terbang dari Pangkalan Udara Tentera Udara Subang tiba di Pulau Tioman pada pukul 11.45 pagi untuk mengambil pesakit tersebut dan telah mendarat di padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) pada 12.30 tengahari untuk di hantar ke HTAA menggunakan Ambulan.
“Penerbangan ihsan ini diketuai juruterbang, Leftenan Komander Maritim Mohamad Zali bin Yusoff, dibantu pembantu juruterbang Leftenan Madya Maritim Syahril Annuar Osman serta dua kru udara. Ini penerbangan ihsan kedua pada tahun ini yang mana awal Januari lalu iaitu melibatkan dua orang mangsa kemalangan di Pulau Tioman yang memerlukan rawatan hospital dengan segera,” katanya.
Menurutnya, bantuan penerbangan itu bergantung kepada keadaan aset Maritim Malaysia dan keutamaan diberikan kepada bidang penguatkuasaan serta operasi mencari dan menyelamat (SAR) termasuk keperluan bantuan semasa banjir di negeri-negeri yang terjejas khususnya di Pantai Timur.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya akan tetap berusaha sedaya upaya untuk membantu dalam situasi sedemikian. Selaras dengan tema Hari Maritim Malaysia yang ke 16 iaitu 'KAMI SERIUS MELAKSANAKANNYA'.
Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999.