KAPAL TUNDA TERBAKAR, 7 KRU SELAMAT

KUALA LINGGI, 26 Disember – Sebuah kapal tunda TAG NUR 21 telah dilaporkan mengalami kebakaran di kedudukan lebih kurang 2.5 batu nautika barat daya pantai Pengkalan Balak, Melaka pada jam 5.10 petang semalam.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Komander Maritim Azman bin Samsudin berkata, sebaik menerima maklumat menerusi MERS 999, Bot Benteng 04 Maritim Malaysia telah digerakkan ke lokasi bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat serta membuat kawalan keselamatan di tempat kejadian.

Menurutnya juga, seramai tujuh orang kru kapal berjaya dipindahkan ke kapal tunda yang berhampiran. Lima daripadanya warga tempatan, manakala dua lagi warga Indonesia dan dilaporkan selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kerja-kerja pemadaman api menggunakan water cannon telah dilakukan oleh kapal tunda yang berdekatan dan kebakaran dapat dikawal sepenuhnya dalam tempoh masa kira-kira 5 jam.

"Tiada tumpahan minyak dilaporkan berlaku dan pihak kami akan membuat pemantauan berterusan. Pihak syarikat kapal tunda tersebut juga akan bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi menyiasat punca sebenar kebakaran," ujar beliau dalam kenyataan di sini.

Maritim Malaysia menasihatkan agar komuniti maritim sentiasa peka mengenai keselamatan di laut dan bersiap sedia dengan sebarang kejadian yang tidak diingini di laut bagi mengelakkan kehilangan nyawa serta harta benda. Selain itu, Maritim Malaysia juga akan terus meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membenteras dan menyekat aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan Zon Maritim Malaysia dan meminta orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka & Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam.

88e4c8df 1af8 4d34 8430 5cc2eaa24f8c 1f95e513 7281 4bab 97ce 01dfcfeb8c6d
 7f4cc29c fdb9 45c6 a7ef 8c2e87c537cb