JOHOR BAHRU, 22 Disember - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor telah berjaya mematahkan satu cubaan menyeludup dadah disyaki syabu seberat lebih kurang 100 kilogram di dalam sebuah bot di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor, sekitar jam 9.45 malam, semalam.

Aktiviti jenayah ini telah dikesan oleh Maritim Malaysia melalui Tim Risik dan telah mengaturkan serbuan melalui Op Jaksa di sekitar perairan Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Pada lebih kurang jam 9.30 malam bot ronda Maritim Malaysia telah mengesan sebuah bot fiber yang mencurigakan dan disyaki bot penyeludup sedang bergerak keluar dari muara Sungai Boh ke perairan Tanjung Piai, disyaki ke sempadan Malaysia dan Indonesia.

Menyedari kehadiran bot ronda Maritim Malaysia, bot fiber tersebut telah memadamkan lampu serta memecut laju ke kawasan paya bakau berhampiran dan melarikan diri ke dalam paya bakau dengan meninggalkan bot tersebut di kedudukan lebih kurang 0.5 batu nautika barat daya Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Anggota bot ronda Maritim Malaysia merapat ke bot fiber yang ditinggalkan itu dan menemukan muatan empat beg pakaian dan satu kotak. Pemeriksaan lanjut ke atas empat beg dan kotak itu, mendapati terdapat 98 paket bungkusan teh Cina yang mengandungi serbuk kristal, dipercayai dadah jenis syabu.  Setiap bungkusan teh Cina itu dianggarkan seberat satu kilogram.

Bot fiber dan muatan itu dirampas dan dibawa ke Maritim Malaysia Negeri Johor.

Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM 5.1 juta merangkumi lebih kurang 100 kilogram dadah dipercayai jenis syabu (kristal) serta sebuah bot fiber berwarna biru tanpa nombor pendaftaran berukuran lebih kurang 17 kaki dan empat kaki lebar dan satu unit enjin Yamaha 25 kuasa kuda.

Rampasan kali ini merupakan kejayaan kali keenam dan terbesar Maritim Malaysia Negeri Johor dalam membanteras dan menggagalkan aktiviti jenayah penyeludupan dadah di perairan Johor bagi tahun 2020.

Masyarakat terutamanya komuniti maritim diseru untuk bersama-sama berganding bahu dengan pihak berkuasa dengan memainkan peranan sebagai mata dan telinga kepada pihak berkuatsa dalam memerangi jenayah maritim dan penyeludupan dadah.

Sebarang aduan jenayah maritim di perairan negeri Johor segera hubungi talian hotline 24 jam Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian (07-219 9404).

 

20201222144035 IMG 1137 20201222150039 IMG 1168
20201222000630 IMG 0451 IMG 20201222 WA0041