KOTA TINGGI, 17 Disember – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili telah menahan dua buah kapal tangki di perairan Johor Timur sekitar jam 10.40 pagi semalam dan 10.20 pagi tadi.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam bin Zakaria berkata, penahanan kapal-kapal tersebut telah dibuat sewaktu kapal ronda Maritim Malaysia melaksanakan rondaan rutin operasi.

"Kapal tangki yang ditahan semalam telah dikesan sedang bersauh pada kedudukan sekitar 12.7 batu nautika timur Tanjung Lompat, manakala kapal tangki kedua yang ditahan hari ini berada di kedudukan 10.6 batu nautika barat daya Tanjung Penawar di perairan Johor Timur," jelas Nurul Hizam lagi.

Pemeriksaan awal mendapati kapal tangki pertama berdaftar di negara ini dan dikendalikan oleh 13 kru lelaki termasuk nakhoda yang berusia di antara 24 hingga 53 tahun. Kesemua kru merupakan warga asing Indonesia, Myanmar, China serta Singapura.

Manakala kapal kedua yang berdaftar di Mongolia dikendalikan oleh 10 orang kru termasuk nakhoda berumur lingkungan 26 hingga 60 tahun kesemuanya lelaki warga Indonesia.

''Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut Malaysia. Jika disabitkan kesalahan ini boleh dikenakan denda tidak kurang RM 20 ribu dan tidak melebihi RM 100 ribu," katanya.

Perintah penahanan ke atas kedua-dua kapal tersebut telah dikeluarkan dan dua orang kru dari setiap kapal tersebut turut dibawa ke Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut.

Nurul Hizam menjelaskan lagi, Maritim Malaysia sentiasa memandang serius ke atas pematuhan undang-undang dan tindakan sewajarnya akan diambil demi memastikan kesejahteraan perairan negara khususnya perairan Johor Timur. Pengusaha perkapalan atau pemilik kapal dinasihatkan untuk memohon kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut Malaysia dan mengikut peraturan untuk melakukan sebarang aktiviti di perairan Malaysia.

Jika terdapat aduan dan maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, sila hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-2199404 yang beroperasi secara 24 jam atau talian kecemasan MERS 999 agar tindakqn segera dapat diambil oleh Maritim Malaysia.

 

WhatsApp Image 2020 12 31 at 11.32.44

 

WhatsApp Image 2020 12 31 at 11.32.44 1