OP SAR HARI KE-3 : PEMANCING JATUH LAUT DITEMUI

GEORGETOWN, 26 Julai - Operasi Carilamat (SAR) seorang lelaki yang dipercayai jatuh laut ketika memancing telah berjaya ditemui pagi ini.
Menurut Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Hamizan bin Harun, mangsa, Gananaphan A/L Yenlengkumaran, 27 tahun dijumpai oleh bot nelayan tempatan di perairan Karpal Singh pada jam lebih kurang 10.20 pagi dan dibawa ke Jeti Perikanan Karpal Singh. 
"Seterusnya, mangsa diserahkan kepada Balai Polis Seberang Perai dan dirujuk ke Hospital Seberang Jaya bagi bedah siasat," katanya.
Terdahulu, mangsa dipercayai terkena sawan dan terjatuh ke laut ketika memancing di tiang No. 32 Jambatan Pertama Pulau Pinang pada tiga hari lepas. 
Operasi SAR yang memasuki hari ketiga ini telah dikoordinasi oleh MRSC Langkawi melibatkan aset laut Agensi Keselamatan terdiri daripada Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia. Maritim Negeri Pulau Pinang merakamkan ribuan terima kasih atas kerjasama semua terlibat dalam Operasi SAR ini.
Orang awam diminta agar melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.