3 PATI BEKERJA DI SANGKAR IKAN TIDAK BERDAFTAR DITAHAN

GEORGETOWN, 27 Julai Tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar telah ditahan di sebuah sangkar ikan di kedudukan  4.2 batu nautika Selatan Pulau Aman, Pulau Pinang oleh bot peronda milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Hamizan bin Harun berkata, setelah pemeriksaan terhadap sebuah sangkar ikan yang tiada nombor pendaftaran, didapati tiga lelaki warga Myanmar berumur 23, 25 dan 30 tahun telah gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri (pasport) dan permit kerja yang sah. Mereka ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Pulau Pinang untuk siasatan serta tindakan lanjut.

“Kesemua PATI tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta  Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(c) iaitu tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah,” ulasnya.

Tambah Hamizan, pengusaha sangkar ikan ditegaskan agar tidak menggajikan PATI atau pekerja asing tanpa permit yang sah malahan Maritim Negeri Pulau Pinang akan memperkuatkan pemantauan dan rondaan bagi membanteras kegiatan PATI di perairan Pulau Pinang.

Orang awam digalakkan melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.