BOT NELAYAN KELAS B DAN BOT PENUMPANG DITAHAN

WhatsApp Image 2020 07 27 at 9.29.24 AM  

WhatsApp Image 2020 07 27 at 9.29.21 AM

 

 

PELABUHAN KLANG, 27 Julai – Sebuah bot nelayan tempatan Kelas B bersama tiga lelaki warga tempatan ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor di kedudukan 0.5 batu nautika dari Pelabuhan Utara lebih kurang jam 12.20 tengah malam kelmarin, kerana menunda di luar kawasan yang dibenarkan. Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli bin Kassim berkata, bot nelayan itu ditahan untuk pemeriksaan rutin dan disyaki telah melakukan kesalahan dibawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot mendapati, mereka menunda kurang dari 5.0 batu nautika dari daratan. Ketiga-tiga mereka yang berumur dalam lingkungan 30 hingga 52 tahun. Bot-bot nelayan ini diingatkan agar patuhi syarat lesen yang diberikan kerana kegagalan mematuhi peraturan boleh boleh menjejaskan ekosistem dan pendapatan nelayan tradisional di pesisir pantai,” jelas beliau. Dalam kejadian berasingan, seorang nakhoda lelaki warga tempatan berumur 59 tahun ditahan bersama bot penumpang disyaki melakukan kesalahan dibawah Ordinan Perkapalan Saudagar (Pindaan dan Perluasan 11) kerana tidak memiliki sijil kelayakan membawa vesel yang dikeluarkan oleh Pengarah Jabatan Laut Semenanjung Malaysia.

Bot tersebut diperiksa di kedudukan 0.2 batu nautika Timur Pulau Che Mat Zin pada 7.10 malam tadi. Bot nelayan dan bot penumpang itu telah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut. Maritim Malaysia menggesa agar orang ramai melaporkan sebarang kegiatan dan aktiviti di laut yang menyalahi undang-undang negara di pejabat Maritim yang berdekatan. Kerjasama daripada semua pihak termasuk persatuan nelayan kawasan dan komuniti nelayan serta semua pengusaha bot nelayan amat penting bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan perairan negara pada masa akan datang.