OP BENTENG : BOT NELAYAN GAJIKAN PATI MYANMAR DITAHAN

 WhatsApp Image 2020 07 24 at 9.51.20 AM

 

PELABUHAN KLANG,24 Julai -  Bot nelayan tempatan Kelas B gajikan dua Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan oleh Maritim Negeri Selangor lebih kurang jam 10.00 pagi, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli bin Kassim berkata, bot nelayan itu ditahan ketika mereka sedang leka menunda ikan pada jarak lebih kurang 3.2 batu nautika barat Pulau Selat Kering, Selangor.
“Hasil pemeriksaan ke atas bot mendapati, lima kru lelaki termasuk tekong berada di atas bot berkenaan. Tiga daripadanya warga tempatan dan dua lagi warga Myanmar yang didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
Kesemua kru berumur dalam lingkungan 25 hingga 50 tahun itu akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menunda di luar kawasan yang dibenarkan.  Manakala dua kru warga Myanmar akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Tekong, kru dan bot bersama ikan campur yang dianggarkan lebih kurang sebanyak 200 kilogram itu ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut.
Maritim Malaysia mengalu-alukan kerjasama komuniti maritim menjadi ‘mata dan telinga’ pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat tentang aktiviti PATI. Orang awam dan komuniti maritim perlu bekerjasama membanteras aktiviti jenayah dan boleh menyalurkan maklumat melalui talian 03-31760627” ujar beliau.