OP BENTENG: SAR DIAKTIFKAN UNTUK MENCARI TIGA PATI YANG DILAPORKAN JATUH LAUT

JOHOR BAHRU, 7 JulaiMaritime Rescue Sub-Centre Johor Bahru (MRSC-JB) mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) terhadap tiga Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI)  jatuh laut pada jam 2.00 pagi tadi.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin bin Haji Abdul Rashid berkata, bot yang membawa kesemua PATI seramai lima orang termasuk tekong telah terbalik apabila cuba melarikan diri daripada ditahan oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op-Benteng di perairan Tanjung Piai, Johor.

Terdahulu, sebuah bot membawa PATI telah berjaya dikesan pada jam kira-kira 12.00 malam tadi di sekitar Tanjung Adang, Gelang Patah, Johor hasil daripada maklumat risikan.

Bot tersebut yang menyedari kehadiran bot ronda Maritim Malaysia bertindak memecut bot bagi meloloskan diri namun bot telah terbalik di posisi lebih kurang 4.3 batu nautika tenggara Tanjung Piai, Johor pada jam lebih kurang 1.45 pagi.

Seorang lelaki dewasa dipercayai tekong bot warga Indonesia telah berjaya diselamatkan dan ditahan manakala pencarian di kawasan bot terbalik tidak menemui mangsa yang lain.

Dalam masa yang sama, MRSC-JB juga menerima makluman daripada pihak Lembaga Pelabuhan Johor mengenai sebuah Kapal Dagang (MT SMF IXORA) telah menyelamatkan seorang wanita dewasa dipercayai PATI warga Indonesia yang jatuh laut berhampiran kapal tersebut bersauh iaitu lebih kurang 4.5 batu nautika timur Tanjung Piai.

Berdasarkan maklumat awal, tiga lagi rakan mangsa yang terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki dewasa dipercayai telah turut sama terjatuh ke laut di sekitar lokasi yang sama.

Koordinasi SAR oleh MRSC-JB bagi mencari tiga mangsa yang masih hilang melibatkan sebuah kapal dan empat buah bot daripada Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM). Keluasan sektor pencarian meliputi 40 batu nautika persegi di sekitar perairan Tanjung Piai dan Tanjung Bin, Kukup, Johor.

Selain itu, maklumat pencarian juga disalurkan kepada Komuniti Maritim terutamanya kapal-kapal dagang yang berada serta melalui kawasan tersebut. Maklumat juga disalurkan kepada agensi penguatkuasa Negara-negara jiran seperti Badan SAR Nasional Indonesia (BASARNAS) dan Maritime and Port Authority of Singapore (MPA-Singapore).

Maritim Malaysia menyeru mana-mana individu yang ingin keluar atau masuk ke negara ini untuk  melalui jalan yang sah dan selamat. Sindiket penyeludupan PATI hanya ingin mengaut keuntungan tanpa menghiraukan keselamatan nyawa. Sebarang maklumat mengenai penemuan mangsa yang terlibat boleh disalurkan kepada Pusat  Operasi  Maritim Negeri Johor (07-219 9404).

sar pati 7 julai    sar pati 7 jul