MARITIM MALAYSIA TANGKAP DUA DALANG KES PENYELUDUPAN PATI DI PERAIRAN UTARA

GAMBAR SUSPEK YANG DITANGKAP

ALOR SETAR, 21 April - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah berjaya menangkap dua (2) orang suspek yang disyaki dalang kepada aktiviti penyeludupan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang beroperasi di sekitar utara dan selatan Semenanjung.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Dato’ Mohd Zubil bin Mat Som, mengesahkan kedua-dua tangkapan ini di bawah ‘Op Dallal’ yang melibatkan urus niaga jenayah penyeludupan manusia. Dalam bahasa Bangladesh `Dallal’ bermaksud panggilan yang digunakan kepada agen-agen darat.

Tangkapan pertama dibuat pada 17 April 2020 ke atas seorang lelaki warga Myanmar disyaki bangsa Rohingya berusia 36 tahun, pemegang kad UNCHR di sebuah rumah teres beralamat No 508, Fasa 2, Taman Bersatu, Simpang Empat, Kedah.

Semasa serbuan dibuat suspek bersembunyi di atas siling rumah berkenaan, namun berjaya dikesan dan ditangkap oleh penguatkuasa Maritim Malaysia. Maklumat siasatan juga mendapati suspek merupakan adik ipar kepada dalang utama aktiviti jenayah penyeludupan PATI yang aktif beroperasi di utara dan selatan Semenanjung.

Pada 19 April 2020 tangkapan kedua dibuat ke atas seorang lelaki warga Myanmar disyaki bangsa Rohingya, berusia 31 tahun di sebuah rumah teres tidak bernombor Batu 20, Jalan Yan Pekan, 08800 Guar Chempedak Kedah.

Semasa serbuan, suspek kedua bersembunyi di belakang pintu utama rumah dan terus ditangkap oleh Tim Khas Maritim Kedah/Perlis. Tangkapan ini berjaya dilakukan berikutan maklumat siasatan lanjut ke atas suspek pertama dan hubung kait buku catatan dalang utama yang merekodkan penerimaan bayaran hasil aktiviti penyeludupan PATI dipercayai etnik Rohingya pada 5 April lepas di perairan Langkawi.

Kedua-dua suspek disyaki menjadi dalang dan tekong darat dalam urusan keluar masuk PATI dan disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670). Sekiranya disabitkan dengan kesalahan tersebut, suspek boleh dihukum dengan penjara selama tempoh tidak melebihi 15 tahun, dan boleh juga dikenakan denda, atau kedua-duanya sekali.

Siasatan lanjut ke atas PATI dipercayai etnik Rohingya yang ditahan pada 5 April lalu mendapati mereka membayar sejumlah wang tidak kurang daripada RM15,000.00 setiap seorang kepada agen bagi urusan kemasukan ke Malaysia.

Menerusi siasatan, kedua-dua suspek telah menggunakan beberapa nama samaran untuk mengelak identiti dan pergerakannya dikesan oleh pihak berkuasa. Bagaimanapun, pergerakan suspek berjaya dikesan menerusi maklumat risikan yang diperolehi.

Kini, Bahagian Siasatan Jenayah Maritim Malaysia sedang memburu seorang lagi suspek yang merupakan dalang utama dan disyaki masih berada di sekitar utara Semenanjung. Suspek disyaki merupakan dalang utama yang berperanan mengatur kemasukan PATI bagi permintaan di negeri Kedah, Pulau Pinang dan Johor.

Maritim Malaysia akan terus memburu anggota sindiket yang terlibat khasnya tekong-tekong darat yang disyaki bersekongkol dengan tekong laut untuk menyeludup PATI ke negara ini, sama ada di kalangan warga asing, pemegang kad UNCHR dan juga rakyat tempatan yang dipercayai telah mengaut keuntungan ribuan ringgit menerusi penyeludupan pendatang tanpa izin ke negara ini serta eksploitasi penyeludupan manusia bagi tujuan tenaga kerja warga asing secara haram.

9bd87e4a a26f 4d4e bb1e ac8e7d9ecf43