BOT MARITIM MALAYSIA BANTU SELAMATKAN NAKHODA KAPAL

KUALA LINGGI, 20 April – Seorang nakhoda kapal dagang warga Indonesia diselamatkan selepas hampir 18 jam hanyut di laut pada kedudukan lebih kurang 12.8 batu nautika barat daya dari Pulau Panjang, Melaka pada jam 5.45 petang semalam.

Menurut Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Haris Fadzillah bin Abdullah, operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) dilaksanakan sebaik menerima aduan dari ejen kapal yang memaklumkan seorang nakhoda kapal MV HABOUR NAPTUNE telah hilang dalam pelayaran dari Perlabuhan Pasir Gudang ke Perlabuhan Klang.

“Mangsa, Gunawan,42 tahun dipercayai terjatuh ke laut pada jam 10 malam 18 April lalu namun kehilangannya hanya di sedari sekitar jam 3 pagi pada keesokannya, apabila kru mendapati beliau tiada di biliknya semasa kapal hendak berlabuh di perairan Pintu Gedung, Pulau Indah, Pelabuhan Klang,” katanya.

“Bot ronda Pengawal Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan yang terlibat dalam operasi CARILAMAT, bergegas ke lokasi mangsa sebaik menerima maklumat mangsa telah ditemui oleh sebuah kapal dagang yang melalui kawasan berkenaan.

“Ketika kejadian, mangsa yang memakai jaket keselamatan ditemui sedang hanyut terapung di tengah laut,” jelas beliau.

Haris menjelaskan, mangsa telah diselamatkan dan dibawa ke Jeti Maritim Kuala Linggi bagi mendapatkan rawatan dan siasatan lanjut.

“Petugas kesihatan telah memeriksa mangsa dan dilaporkan mangsa tidak mengalami kecederaan serta tidak menunjukkan sebarang simptom jangkitan COVID-19,” tambah beliau.

“Mangsa dilaporkan tidak memiliki sejarah perjalanan ke luar negara manakala kapal dagang yang beliau bekerja juga hanya berlayar di perairan Malaysia dan kesemua kru tidak turun ke darat sejak 18 Mac lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Kesemua kru kapal dagang tersebut juga didapati bebas jangkitan COVID-19,”jelasnya lagi.

Tambah beliau lagi, pihak agen kapal memaklumkan bahawa mangsa tetap akan menjalani kuarantin bagi mengelak jangkitan virus tersebut.

“Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan sedang menyiasat punca nakhoda kapal itu jatuh dan sekiranya terdapat unsur jenayah, kes akan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan selanjutnya”, kata beliau dalam satu kenyataan disini.

Beliau menegaskan, sepanjang tempoh PKP berlangsung, pihaknya memandang serius dalam menyokong usaha kerajaan bagi memutuskan rantaian wabak COVID-19 dan meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membenteras dan menyekat aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan Melaka dan Negeri Sembilan.

no 1 no 2