DIJUMPAI SELEPAS BERAPUNG 15 JAM DI LAUT

JOHOR BAHRU, 24 Mac – Maritim Malaysia, Zon Maritim Tanjung Sedili selamatkan seorang nelayan tempatan yang dilapor jatuh laut di Perairan Tanjung Sedili, Kota Tinggi semalam.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin bin Haji Abdul Rashid berkata, laporan diterima selepas orang awam menghubungi pusat operasi pada jam 8.25 pagi semalam menyatakan menjumpai seorang nelayan warga tempatan berapung sejak petang 22 Mac lalu.

Aminuddin memberitahu, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan operasi menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di laut segera ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa Ayub bin Musa,35, merupakan awak-awak sebuah bot nelayan tempatan. Mangsa dipercayai terjatuh ke laut pada jam sekitar 5.00 petang tanpa disedari rakan sekerja yang lain.

Mangsa yang terjatuh sempat berpaut pada tin biskut yang ditemui terapung di laut dan bernasib baik telah dijumpai oleh nelayan tempatan pada jam 8 pagi semalam dalam keadaan lemah di kedudukan tiga batu nautika timur Sedili Besar. Mangsa kemudiannya dibawa Maritim Malaysia ke pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili dan seterusnya ke klinik kesihatan terdekat bagi mendapatkan rawatan awal.

Komuniti maritim terutamanya nelayan tempatan diseru mengambil langkah-langkah keselamatan dalam menghadapi wabak COVID-19 dengan menjaga kebersihan diri seperti sentiasa mencuci tangan, memakai facemask, membuat persediaan yang wajar untuk ke laut dan sebagainya sepanjang PKP.

Menurut Aminuddin lagi, pemantauan berterusan Maritim Malaysia sepanjang PKP yang bermula pada Rabu lepas juga menunjukkan berlaku penurunan aktiviti di laut di perairan Johor timur apabila hanya aktiviti perkapalan komersil dan penangkapan ikan oleh nelayan berlesen sahaja dibenarkan dan segala aktiviti bersifat reakreasi termasuk memancing (sport fishing) adalah dilarang sepanjang PKP.

"Operasi bagi memastikan PKP terlaksana dengan baik bukan sahaja di darat tetapi di laut juga dititik beratkan oleh Maritim Malaysia selain daripada tugas penguatkuasaan undang-undang serta operasi mencari dan menyelamat di Zon Maritim Malaysia," katanya. 

WhatsApp Image 2020 03 24 at 08.58.36   WhatsApp Image 2020 03 24 at 09.00.22