JOHOR BAHRU, 18 Mac – Pencarian seorang mangsa disyaki jatuh laut ketika sedang memancing di kelong Senggarang, Batu Pahat semalam berakhir apabila mayat mangsa ditemui pada jam lebih kurang 4.20 pagi tadi oleh orang awam di kawasan kelong tersebut.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin bin Haji Abdul Rashid berkata, Operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pada jam 5.40 pagi tadi setelah penemuan satu mayat lelaki dan disahkan sebagai mangsa oleh ahli keluarga. Pos Hadapan Carilamat di Jeti Kampung Seri Pantai, Senggarang, Batu Pahat juga telah dibubarkan.

Sebelum pada itu, Maritim Malaysia menerusi Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim Johor Bahru (MRSC) Johor Bahru telah mengaktifkan SAR pada 12.30 malam semalam sejurus menerima panggilan kecemasan melaporkan seorang lelaki telah terjatuh ke laut ketika memancing di kelong pada kedudukan kira-kira satu batu nautika selatan Sungai Senggarang, Batu Pahat, Johor .

Mangsa Zuraimi bin Dahlan berasal dari Simpang Renggam, Kluang berumur 45 tahun itu dikatakan sedang memancing bersama dua lagi rakannya sebelum dilaporkan terjatuh ke laut.

Operasi SAR yang diselaras Maritim Malaysia meliputi keluasan 75 batu nautika persegi dengan menggunakan sebuah kapal dan lima buah bot dari pelbagai agensi iaitu Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan turut dibantu oleh komuniti nelayan tempatan.

Maritim Malaysia selaku agensi yang mengkordinasi operasi mencari dan menyelamat di laut merakamkan penghargaan kepada semua agensi dan komuniti nelayan tempatan yang terlibat dalam operasi pada kali ini. Selain itu, orang ramai dan komuniti maritim dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati ketika melakukan sebarang aktiviti di laut, sentiasa mengutamakan keselamatan dan cakna dengan keadaan cuaca. Sebarang kecemasan di perairan Johor segera hubungi talian hotline 24 jam Pusat Operasi Maritim Negeri Johor (07-219 9404) atau talian kecemasan MERS 999 agar tindakan segera dapat diambil oleh Maritim Malaysia.

 WhatsApp Image 2020 03 17 at 14.58.05