CUBAAN SELUDUP MINYAK PETROL BERJAYA DITAHAN MARITIM LAHAD DATU

LAHAD DATU, 15 Mac – Zon Maritim Lahad Datu berjaya menahan sebuah bot yang cuba menyeludup minyak petrol di posisi lebih kurang 0.3 batu nautika selatan Kampung Kenali pada malam semalam.

Menurut Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh, sebuah bot samaran Maritim sedang melaksanakan operasi khas di perairan Felda Sahabat telah mengesan sebuah bot yang kelihatan mencurigakan dan telah berjaya memintas bot berkenaan. Setelah melakukan pemeriksaan ke atas bot yang berwarna biru muda berjalur merah tanpa nombor pendaftaran itu didapati seorang tekong warga Filipina berumur 56 tahun berbangsa suluk dan seorang kru warga Filipina yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri berumur 25 tahun juga berbangsa suluk telah ditahan.

“Bot tersebut juga telah cuba membawa keluar sebanyak 980 liter berisi minyak petrol ke negara Filipina. Minyak petrol tersebut dianggarkan bernilai lebih kurang RM 1783.00. Antara barang lain yang turut dirampas sebuah enjin 40 kuasa kuda jenama Yamaha. Tekong bot dan kru tersebut telah disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen1959/63. Bot, tekong, dan kru telah dibawa ke Pos Maritim Felda Sahabat untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat”.

“Zon Maritim Lahad Datu sentiasa peka terhadap aktiviti-aktiviti penyeludupan ini dan akan terus melaksanakan operasi khas dan risikan bagi membanteras kegiatan jenayah dan penyeludupan di perairan Lahad Datu. Pegawai dan anggota Maritim juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba untuk mencari keuntungan dengan bersekongkol dalam melakukan kegiatan penyeludupan barang-barang kawalan”, jelasnya.

Muhaimin turut memohon agar komuniti maritim sentiasa memberi kerjasama dalam melaporkan sebarang kegiatan yang melanggar undang-undang laut negara ke Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu ditalian 089-885 727.

LD PR 13 MAC    LD PR 13 MAC.jpeg 2