ZON MARITIM SEMPORNA TAHAN 6 BOT LANGGAR PERATURAN

SEMPORNA, 12 Mac - Akibat gagal mempamerkan lesen bot dan gagal melaporkan pertukaran nakhoda dalam lesen bot, dua tekong warga Filipina, seorang tekong warga tempatan dan tiga orang palauh beserta dua awak-awak ditahan kerana melanggar syarat-syarat sah lesen dibawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 di perairan Semporna petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi bin Hassan berkata, kira-kira jam 5.00 petang semalam, bot ronda Maritim Malaysia yang melakukan rutin rondaan telah mengesan kesalahan dua bot pam, dua bot nelayan, sebuah bot kargo dan sebuah bot rekreasi, masing-masing berwarna jingga, merah/biru, merah/hijau, putih/biru dan biru/merah gagal mempamerkan lesen bot serta gagal melaporkan pertukaran nakhoda dalam lesen bot. Bot-bot tersebut telah ditahan dilokasi berbeza iaitu 0.6 batu nautika timur Semporna dan 0.5 batu nautika barat Pulau Bum-Bum.

Jelasnya, ketika kejadian bot- bot tersebut dipercayai dalam perjalanan menuju ke Pulau Mabul, Pulau Danawan dan perairan Kampung Pokas dari Semporna.

“Pihak kami terpaksa menahan enam orang tekong bot beserta dua orang awak-awak masing-masing berumur dalam lingkungan 25 tahun hingga 60 tahun kerana disyaki telah melakukan kesalahan yang ditetapkan dibawah peraturan perlesenan bot dan masih tidak patuh pada undang-undang laut."

“Enam bot tersebut bersama hasil rampasan termasuk bot, enjin pam dan enjin sangkut yang dianggarkan bernilai RM 33,000 telah ditunda masuk ke Jeti Kem Azumi Semporna dan diserahkan kepada Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah untuk tindakan lanjut, katanya.

Menurut beliau lagi, Zon Maritim Semporna akan terus meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mengekang perlanggaran undang-undang dan salah laku jenayah di perairan Semporna.

Orang ramai diminta untuk bekerjasama dengan menyalurkan maklumat mahupun aduan ke Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999.

 

WhatsApp Image 2020 03 12 at 10.46.42 1    WhatsApp Image 2020 03 12 at 10.46.42 3 
     
 WhatsApp Image 2020 03 12 at 10.46.42 2    WhatsApp Image 2020 03 12 at 10.46.42