MIRI, 5 Mac 2020 – Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching telah menerima aduan berkenaan seorang nelayan yang dilaporkan hilang ketika keluar ke laut pada 09.40 pagi tadi. Bertindak atas aduan tersebut, Maritim Negeri Sarawak telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) pada jam 10.00 pagi.
Menurut Laksamana Pertama Maritim Robert Teh Geok Chuan, Maritim Negeri Sarawak dengan segera telah mengaturgerak aset ke lokasi kejadian seperti yang telah dilaporkan pengadu sebaik sahaja aduan diterima.
“Selain aset daripada Maritim Malaysia, operasi CARILAMAT ini juga disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam yang terdiri dari komuniti nelayan setempat,” ujar beliau.
Tambah Pengarah Maritim Negeri Sarawak itu lagi, "mangsa yang dilaporkan hilang tersebut bernama Kadri bin Tra berusia 71 tahun kali terakhir ditemui berbaju putih dan berseluar gelap semasa keluar ke laut. Akan tetapi, bot mangsa telah dijumpai pada jarak lebih kurang 1 batu nautika dari pantai Kuala Bakam."
"Pada hari ini pasukan CARILAMAT telah melaksanakan operasi pencarian di kawasan seluas 10 batu nautika persegi membabitkan penglibatan nelayan setempat. Usaha pencarian pada hari ini agak terhad kerana hujan lebat dan laut bergelora dengan ketinggian ombak mencecah hampir 3.5 meter."
Operasi CARILAMAT telah ditangguhkan pada jam 06.00 petang tadi dan akan diteruskan semula pada 07.30 pagi esok. Maritim Malaysia meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau perkembangan terbaru berkenaan aduan ini diminta untuk menghubungi talian 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 yang beroperasi 24 jam.