KUANTAN, 17 Mei - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Negeri Pahang menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C jenis bubu dikendalikan enam nelayan warga Thailand yang tidak memiliki permit yang sah pada jarak lebih kurang 27.7 batu nautika dari muara Kuala Endau petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin bin Jusoh berkata pihaknya sedang menjalankan rondaan Op Makmur/Op Mardof sebelum menahan bot tersebut yang sedang bergerak dalam keadaan yang mencurigakan pada pukul 1.50 petang.
Hasil pemeriksaan awal mendapati, bot itu dikendalikan seorang tekong dan lima kru bot merupakan warga Thailand berumur lingkungan 20 hingga 51 tahun gagal mempamerkan sebarang dokumen kelulusan penggunaan kru bukan warganegara di atas bot penangkapan ikan tempatan.
Pemeriksaan lanjut juga mendapati bot tersebut gagal mempamerkan pas lawatan kerja sementara sewaktu diperiksa.
Tiada hasil laut ditemukan di atas bot dan kesemua kru yang ditahan bersama hasil rampasan peralatan menangkap ikan dibawa ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan warga asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana bekerja tanpa permit yang sah.
Maritim Malaysia juga mengingatkan komuniti maritim di perairan Pahang khasnya supaya menjauhi sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah dan tidak akan berkompromi terhadap perlanggaran yang menyalahi undang-undang serta akan terus membuat rondaan dan pemantauan bagi memastikan perairan negeri Pahang aman dan sejahtera.
Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999.
![]() |
![]() |
|
![]() |
![]() |