KUANTAN, 11 Mei - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang telah menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas A pada jarak lebih kurang 7 batu nautika dari Kuala Endau, Rompin kerana disyaki melanggar syarat sah lesen, petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin bin Jusoh berkata, semasa rondaan OP MAKMUR, aset Maritim Malaysia sedang menjalankan rutin pemeriksaan di setiap bot nelayan di perairan pahang dan mendapati sebuah yang sedang bersauh dalam keadaan mencurigakan seterusnya diperiksa dan ditahan pada jam lebih kurang 3.40 petang.
Hasil pemeriksaan awal mendapati, bot itu dikendalikan seorang tekong warga Laos berusia 37 tahun dan tiada awak-awak di atas bot serta tidak mempunyai sebarang permit kerja yang sah.
Pemeriksaan lanjut bot tersebut telah diubahsuai tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia kerana jenama enjin tidak seperti yang didaftarkan di dalam buku lesen.
Pemilik bot juga didapati melanggar syarat sah lesen dimana bot nelayan kelas A perlu diusahakan sendiri dan tidak dibenarkan menggajikan warga asing.
Tiada hasil laut dan peralatan menangkap ikan ditemukan di atas bot ketika penahanan dibuat.
Tekong dan bot dibawa ke jeti Pos Maritim Teluk Gading sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan warga asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana bekerja tanpa permit yang sah.
Maritim Malaysia juga mengingatkan komuniti maritim di perairan Pahang khasnya supaya menjauhi sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah dan tidak akan berkompromi terhadap perlanggaran yang menyalahi undang-undang serta akan terus membuat rondaan dan pemantauan bagi memastikan perairan negeri Pahang aman dan sejahtera.
Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999.
![]() |
![]() |
|
![]() |
![]() |