GEORGETOWN, 20 November – Pusat Operasi (PUSOP) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang, telah menerima panggilan kecemasan daripada pengadu bersama rakan yang terperangkap di atas batu ketika air pasang di kawasan Permatang Pasir, Pulau Betong sekitar jam 10.10 malam semalam.
Pengarah Maritim Malaysia Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak bin Mohamed berkata, sebaik menerima laporan tersebut, bot ronda PERKASA 1220 telah diatur gerak ke lokasi aduan dan setiba di sana anggota bot ronda Maritim Malaysia mengambil masa lebih kurang 5 minit untuk menyelamatkan kedua-dua mangsa.
Mangsa, Nizamudin bin Azam, 37, dan Mohamad Amirul Amin bin Azman, 28 telah ditemui dalam keadaan selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kesemua mereka seterusnya dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban Maritim untuk pemeriksaan kesihatan.
Maritim Malaysia mengingatkan seluruh komuniti maritim agar mengutamakan keselamatan terutamanya ketika keadaan laut yang bergelora dan cuaca yang tidak menentu.
Tangguhkan sebarang aktiviti sekiranya keadaan tidak mengizinkan.
Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan sebarang maklumat perlakuan jenayah daripada komuniti maritim serta kecemasan di laut boleh dilaporkan terus ke talian Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang 04-2626146 atau MERS 999.