KUALA KEDAH, 12 Oktober - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah merampas 20 set bubu kambang atau bubu naga (China prawn net trap) dalam operasi rondaan rutin Op Aman di kedudukan satu batu nautika perairan Kuala Kuar sekitar jam 11.00 malam semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak berkata, semasa rondaan dilakukan, anggota bot ronda Maritim Malaysia telah menemukan pelampung penanda dan pancang yang mencurigakan dipasang pada setiap bubu naga berukuran lebih kurang 10 meter panjang di lokasi berkenaan.
Kesemua bubu naga kemudian dirampas dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk disiasat mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985.
Anggaran kesemua bubu naga yang dirampas bernilai lebih kurang RM 2,400.