KUANTAN, 21 April - Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Dato’ Mohd Zubil Bin Mat Som, buat julung kalinya telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Pahang seterusnya menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2021.
Ketibaan Yang Berbahagia Dato’Ketua Pengarah Maritim Malaysia disambut dengan Kawalan Kehormatan Setempat Alpha (KKS (A)) dan diiringi oleh Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Bin Jusoh.
Sepanjang lawatan, beliau turut menyampaikan nasihat dan amanat agar warga Maritim Negeri Pahang sentiasa mengekalkan tahap disiplin yang tinggi dari semua aspek dan berintegriti serta bertanggungjawab sepanjang menjalankan tugas yang diamanahkan.
Turut hadir bersama ialah Yang Berbahagia Laksamana Madya Maritim Dato’ Kamaruszaman Bin Haji Abu Hassan, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) dan Yang Berbahagia Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Bin Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah (Logistik).
Seramai 19 pegawai serta anggota telah disenarai sebagai penerima APC tahun 2021 dan majlis penyampaian anugerah telah disampaikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Ketua Pengarah Maritim Malaysia.