MIRI, 21 April - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri telah mengadakan Program Semarak Kasih Ramadhan di Pusat Jagaan Anak Kesayangan Kami (PJAKK) di Pujut, Miri semalam.
Program dimulai dengan aktiviti gotong royong warga ZMM membersih kawasan sekitar bangunan, seterusnya menyediakan juadah berbuka puasa kepada penghuni PJAKK.
Pengarah Zon Maritim Miri Kepten Maritim Mohd Shafie bin Haji Paing berkata, kesedaran membantu serta menjaga kebajikan anak- anak yatim dan golongan asnaf wajar dipupuk dan dijadikan budaya masyarakat, sejajar dengan konsep Aspirasi Keluarga Malaysia.
Sumbangan kepada PJAKK telah disampaikan melalui Penyelia PJAKK Puan Syakirah binti Husin.
Program seperti ini wajar diteruskan pada masa hadapan agar ianya dapat mendidik rasa keperihatinan kepada golongan anak-anak yatim dan asnaf.
LAWATAN KEBAJIKAN KSU KDN ANGGOTA MARITIM MALAYSIA TERLIBAT INSIDEN TEMBAKAN
TAWAU, 12 APRIL – Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Haji Ruji bin Haji Ubi bersama isteri mengadakan lawatan kebajikan ke atas Bintara Muda Maritim Zainal Abas bin Komel, Ketua Bot BANGGI 48 dari Zon Maritim Lahad Datu yang cedera susulan insiden berbalas tembakan semasa menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah bot pada 7 April lalu, kira-kira pada jam 8.40 pagi di Kampung Pangi, Kunak.
Ketibaan beliau dan isteri pagi tadi disambut oleh Timbalan Pengarah Operasi, Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Khairun Dalilah binti Baharin bersama Timbalan Pengarah Klinikal, Hospital Tawau, Dr. Azman bin Ibrahim.
Terdahulu, dalam kejadian tersebut sebuah bot enjin sangkut berwarna biru yang digunakan suspek telah melepaskan empat das tembakan ke arah Bot BANGGI 48 milik Maritim Malaysia ketika anggota bot cuba menghampiri bot suspek untuk pemeriksaan rutin OPERASI KHAS PAGAR LAUT.
Berikutan itu anggota penguat kuasa Bot BANGGI 48 yang terdiri seramai enam orang bertindak membalas tembakan ke arah suspek sebagai tindakan mempertahankan diri serta cubaan menangkap kesemua suspek tersebut.
Suspek kemudiannya melarikan diri dengan memecut laju bot yang sama ke arah sempadan perairan.
Insiden penembakan itu telah menyebabkan kecederaan ke atas Ketua Bot KILAT 48 yang mengalami kecederaan di bahagian bawah mata kiri akibat terkena serpihan benda asing impak daripada tembakan tersebut.
Bintara Muda Maritim Zainal Abas telah selesai menjalani pembedahan mata dan disahkan buta mata kiri akibat serpihan benda asing tersebut mengenai saraf mata kiri beliau, beliau telah dimasukkan ke Wad 8, Hospital Tawau dan dilaporkan dalam keadaan stabil dan masih menjalani rawatan susulan.
Datuk Haji Ruji bagi pihak Kementerian Dalam Negeri turut menyampaikan sumbangan kepada anggota Maritim Malaysia tersebut serta sempat memberikan kata-kata semangat kepada beliau untuk terus tabah dengan ujian ini.
Turut hadir sama dalam lawatan kebajikan ini ialah YB Datuk Andy Muhamad Suryandy bin Bandy, Ahli Parlimen Kalabakan merangkap Pembantu Menteri KBS Sabah.