PULAU TIOMAN, 25 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Maritim Negeri Pahang telah mengadakan pertemuan ringkas bersama Persatuan komuniti nelayan Pulau Tioman pada Program Pelupusan Vesel Lucut Hak Bot Nelayan untuk berkongsi maklumat berkenaan program yang dilaksanakan serta menerangkan langkah-langkah keselamatan di laut bagi menghadapi musim tengkujuh yang akan tiba November ini.
Turut hadir dalam pertemuan itu Ahli Dewan Undangan Negeri Tioman merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Johari bin Hussain.
Dalam pertemuan itu, Persatuan komuniti nelayan turut berkongsi masalah serta keluhan yang dihadapi terutamanya melibatkan pencerobohan bot nelayan asing Vietnam yang semakin berani mencuri hasil laut di perairan Pahang.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Hj Amran bin Hj Daud memaklumkan kepada komuniti nelayan negeri Pahang bahawa Maritim Malaysia mengambil maklum perkara tersebut dan memaklumkan sebarang kejadian yang mencurigakan dengan menggunakan saluran yang betul dengan menghubungi talian Hotline Maritim Malaysia.