KUALA SUNGAI BARU, 17 April - Maritim Negeri Melaka & Negeri Sembilan telah melaksanakan pemberian sumbangan melibatkan barangan keperluan asas kepada lebih kurang 20 buah rumah semalam melibatkan komuniti maritim sekitar Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, Melaka.

Pengarah Maritim Negeri Melaka & Negeri Sembilan, Kepten Maritim Haris Fadzillah bin Abdullah berkata, sumbangan barangan keperluan asas ini diberikan kepada keluarga asnaf dalam kalangan komuniti maritim. Mereka merupakan antara yang terjejas sumber pendapatan dan bekalan makanan semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan oleh kerajaan.

“Memasuki fasa ketiga PKP ini, kita melihat semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam usaha memutuskan rantaian Covid 19 termasuklah Penguat Kuasa Maritim yang telah meningkatkan dan memperketat lagi kawalan persempadanan perairan negara dari diceroboh dan sebagainya, pastinya Maritim Malaysia tidak lupa dalam melaksanakan tanggungjawab sosial terhadap keluarga asnaf dalam kalangan komuniti maritim. Ketika inilah kita sebagai Penguat Kuasa di Zon Maritim Malaysia, memberikan pertolongan disaat mereka terjejas hasil pendapatan dan sumber makanan harian kerana jasa mereka sebagai mata dan telinga Maritim Malaysia dalam membantu memberikan maklumat jenayah dan bantuan kecemasan di laut”. Ujar beliau dalam satu kenyataan di sini.

Tambah Haris, beliau berharap agar golongan ini sabar dan tabah menghadapi dugaan ini dan mematuhi setiap arahan semasa yang dikeluarkan oleh kerajaan dalam usaha menyokong dan membantu kerajaan serta semua orang bagi menghapus Wabak Covid 19. Pemberian sumbangan keperluan asas ini juga diharap sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan kepada golongan tersebut dan Maritim Malaysia mendoakan semoga mereka terus dimurahkan rezeki bagi meneruskan kelangsungan hidup.

 IMG 0616  IMG 06921
IMG 0766 IMG 0744