KUANTAN, 23 Oktober - Maritim Negeri Pahang hari ini telah mengadakan majlis pemakaian pangkat serta majlis persaraan bagi pegawai dan anggotanya yang bertempat di auditorium Pejabat Maritim Negeri Pahang.
Majlis dimulakan dengan pemakaian pangkat yang disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Maritim Negeri Pahang, Kepten Maritim Hj Amran bin Hj Daud kepada dua orang Pegawai Penguatkuasa Maritim yang menerima kenaikan daripada Leftenan Muda Maritim ke Leftenan Madya Maritim dan dua orang Pegawai Penguatkuasa Maritim Lain-lain Pangkat yang telah dinaikkan pangkat ke Laskar Kelas I Maritim.
Selain itu, majlis persaraan turut diadakan bagi dua orang anggota dan staf Maritim Negeri Pahang iaitu Bintara Muda Maritim Abdul Samad bin Keria yang bersara pada 1 Oktober yang lalu dan Puan Tengku Norhuda binti Tengku Mahmud yang akan menamatkan perkhidmatan pada 31 Oktober ini.
Dalam ucapan Kepten Maritim Hj Amran bin Hj Daud, beliau mengucapkan jutaan tahniah kepada semua yang telah dinaikkan pangkat dan beliau berharap kesemua mereka dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan lebih bermotivasi tinggi. Beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada yang bersara diatas perkhidmatan yang telah diberikan sepanjang berkhidmat didalam Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
Sumber: Pegawai Perhubungan Awam Negeri Pahang