KUANTAN, 10 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Maritim Negeri Pahang telah menganjurkan Program Sembang Santai Bersama Komuniti Nelayan bertempat di Pantai Chendor, Kuantan.
Program tersebut melibatkan wakil dari Komuniti Nelayan bot fiber dan tradisional serta pengusaha bot aktiviti rekreasi bersama Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Eksesais Maritim Negeri Pahang, Komander Maritim Abdul Halim bin Hamzah serta pegawai dan anggota dari Maritim Negeri Pahang.
Program dimulakan dengan edaran poster dan pelekat hotline seterusnya ucapan aluan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Eksesais Maritim Negeri Pahang, sesi dialog bersama komuniti maritim membincangkan mengenai isu-isu semasa, luahan masalah yang dihadapi dan aduan yang berkaitan dengan Maritim Malaysia serta langkah-langkah penyelesaian dan jawapan secara bersama oleh kedua-dua belah pihak.
Program ini juga membincangkan mengenai penguatkuasaan, pencerobohan bot nelayan asing Vietnam dan kesedaran keselamatan semasa berada di laut terutamanya pemakaian jaket keselamatan serta penekanan kepada komuniti mengenai penggunaan Personal Locator Beacon, MCG Info dan muat turun aplikasi myCuaca dimana keadaan cuaca sekarang berada di fasa Monsun Timur Laut yang bakal berakhir pada penghujung Mac ini.