MIRI, 13 Januari - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Zon Maritim Miri (ZMM) telah selesai melaksanakan suntikan dos penggalak kedua vaksin Covid-19 demi menjaga kebajikan dan sebagai langkah pencegahan risiko penyakit berjangkit ketika melaksanakan tugas.
Menurut Pengarah ZMM Kepten Mohd Shafie bin Haji Paing, warga ZMM menyambut baik saranan kerajaan untuk suntikan kedua dos penggalak vaksin Covid-19 apabila hampir 90 peratus warga ZMM berkumpul di bilik taklimat sejak 2.30 petang semalam untuk mendapatkan suntikan.
Zon Maritim Miri menjadi agensi keselamatan pertama menerima dos penggalak kedua sejak 2 minggu pelaksanaan pemberian dos tersebut.
Berdasarkan laporan dari Kementerian Kesihatan (KKM) yang mengesan trend peningkatan dalam pengambilan dos penggalak kedua di fasiliti kesihatan di seluruh negara sejak dua minggu lalu. Pengambilan dos penggalak Covid-19 boleh mencegah gejala yang teruk akibat jangkitan Covid-19.
Orang ramai yang ingin mengambil dos penggalak kedua bolehlah menghubungi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang berdekatan untuk mendapatkan temu janji secara percuma.