LABUAN, 27 Oktober - Zon Maritim Labuan dengan kerjasama LDA Labuan (Holding) Sdn. Bhd telah melaksanakan Majlis Penyerahan Video Keselamatan Penumpang Feri bertempat di Menara Bangunan Terminal Antarabangsa Feri Labuan.
Penyerahan video dilaksanakan oleh Pengarah Zon Maritim Labuan kepada Ketua Eksekutif LDA Labuan, Tuan Mohd Ridzuan bin Ibrahim yang turut disaksikan oleh wakil Pengarah Jabatan Laut Malaysia Labuan, Encik Nur Muhammad bin Subri.
Wakil daripada Jabatan Laut Malaysia Labuan dan ejen syarikat feri telah hadir bagi menonton video keselamatan serta menerima sijil penghargaan atas komitmen yang diberikan. Mereka juga bersetuju untuk mengedarkan dan memaparkan video keselamatan ini di terminal feri dan di atas feri penumpang masing-masing.
Majlis turut dihadiri oleh pengamal media Labuan serta warga kerja daripada Zon Maritim Labuan dan LDA Labuan.