PELABUHAN KLANG, 9 MEI – Sebuah bot nelayan tempatan Kelas C2 ditahan Maritim Negeri Selangor atas pelbagai kesalahan di kedudukan sekitar 23.8 batu nautika barat daya Kapar petang semalam.
Pengarahnya, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, tangkapan itu dibuat pada jam 3.45 petang oleh KM DANGA dalam OP EHSAN,OP MURNI dan OP TIRIS 3.0 di perairan Selangor.
Ketika rondaan, KM DANGA telah mengesan bot itu yang sedang melakukan aktiviti perikanan di bawah 30 batu nautika dari pantai.
Hasil pemeriksaan mendapati bot itu berdaftar di negeri Perak dan dikendalikan oleh tekong dan empat kru warga Myanmar dalam lingkungan umur 25 hingga 55 tahun.
Kesemua suspek gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan permit kerja atau surat kebenaran dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
Kesemua yang ditahan bersama hasil tangkapan ikan campur dianggarkan seberat 200 kilogram diiringi ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menunda atau melakukan aktiviti penangkapan ikan di bawah 30 batu nautika, pemilik bot telah menggajikan warga asing tanpa kebenaran dan melebihi kuota yang dibenarkan serta melakukan aktiviti penangkapan ikan di luar perairan Perak.
Kes juga disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana kesemua mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
Sebarang aduan, maklumat dan insiden kecemasan serta aktiviti jenayah di laut orang ramai boleh menyalurkannya ke talian 24 jam MERS 999 atau pusat operasi Maritim Malaysia untuk maklum balas segera.