5 JAM BERAPUNG DI LAUT, MANGSA BOT TERBALIK DITEMUI SELAMAT

KUCHING, 19 November – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sarawak telah melaksanakan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) seorang mangsa bot terbalik di Perairan Pulau Pahat, Kuching, hari ini.

Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman bin Md Yunus berkata Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching telah menerima aduan pada pukul 11.45 pagi memaklumkan, mangsa Atar bin Akil mengalami kecemasan di laut kerana bot gentian kaca beliau telah terbalik dipukul ombak.

Sebaik sahaja menerima aduan, OP CARILAMAT telah diaktifkan dan BOT PENYELAMAT 8 telah diatur gerak ke lokasi kejadian.

Beliau turut berkata, misi pencarian mangsa turut dibantu oleh agensi sahabat seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Perikanan Laut Sarawak, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Penduduk kampung Telaga Air.

Mengulas lanjut berkenaan insiden terbabit, pihak Maritim Malaysia difahamkan, mangsa telah keluar ke laut untuk menangkap ikan pada awal pagi tadi dan mengalami situasi kecemasan pada pukul 10.45 pagi.

Mangsa telah diselamatkan oleh nelayan tempatan pada jarak 70 meter dari Pulau Tokong Burung pada pukul 3.15 petang setelah lima jam berapung di laut.

Mangsa seterusnya dibawa ke Jeti Telaga Air dan diberikan rawatan awal oleh pihak KKM.

Maritim Malaysia mengucapkan terima kasih kepada komuniti nelayan Telaga Air yang berusaha untuk membantu menyelamatkan mangsa walaupun keadaan laut tidak begitu baik ketika usaha CARILAMAT dijalankan.

Orang ramai khususnya komuniti maritim dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati ketika melakukan sebarang aktiviti di laut dan mengutamakan keselamatan diri

dengan memakai jaket keselamatan ketika di laut.

Sebarang maklumat salah laku atau kegiatan jenayah dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkan kepada Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam untuk tindakan segera.

 

CARILAMAT APUNG   CARILAMAT APUNG 3   CARILAMAT APUNG 4