TIDAK MEMILIKI DOKUMEN SAH, DUA BOT TUNDA DITAHAN

LUMUT, 19 November – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menahan dua bot nelayan tempatan kelas C bersama 10 nelayan warga asing termasuk tekong dan kru di dua kedudukan berbeza iaitu 9.5 dan 9.1 batu nautika barat daya Sungai Tiang, Perak sekitar pukul 4.58 dan 5.20 petang, jumaat lalu.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd Hambali bin Ya’akup berkata, dua bot itu dikesan sedang melakukan aktiviti perikanan oleh KM NYALAU ketika melakukan rondaan rutin menerusi OP SAYONG, OP TANJUNG dan OP TIRIS di perairan Perak.

Hasil pemeriksaan mendapati, kedua-dua bot itu dikendalikan oleh dua tekong bersama lapan kru warga Myanmar berumur dalam lingkungan 20 hingga 36 tahun.

Pemeriksaan lanjut mendapati, kedua-dua tekong gagal mengemukakan dokuman pengenalan diri dan dokumen kebenaran penggunaan kru warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran, beroperasi kurang daripada 15 batu nautika serta Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.

Kesemua nelayan ditahan, manakala bot dan hasil tangkapan berserta peralatan menangkap ikan dirampas sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

 

LUMUT TAHAN   LUMUT TAHAN 2   LUMUT TAHAN 4