19
Fri, Apr

MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN DAN AMANAT ULUNG KETUA PENGARAH MARITIM MALAYSIA KEENAM

PUTRAJAYA, 6 November – Warga Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) perlu menekankan nilai integriti yang tinggi dalam memperkasakan agensi pada masa kini dan akan datang.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Hj Mohd Amin menekankan perkara tersebut menerusi amanat ulungnya bersempena dengan Majlis Perhimpunan Bulanan Maritim Malaysia, petang tadi di Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Putrajaya.

Katanya, integriti menjadi teras pertama di mana prosedur operasi standard (SOP) kerja harus diperkukuhkan bagi menutup ruang-ruang yang membolehkan berlakunya gejala rasuah dan ketirisan dalam agensi.

Selain teras pertama iaitu integriti, beliau turut menekankan tentang pemerkasaan operasi sebagai teras kedua di mana perlunya keupayaan logistik yang cekap dalam memastikan aset-aset sentiasa bersiap siaga dan sentiasa optimum.

Warga juga disarankan untuk meningkatkan pengetahuan, pengalaman serta kemahiran warga kapal dan bot untuk beroperasi di laut, meningkatkan kemahiran dalam bidang siasatan dan perisikan termasuk tatacara memberi keterangan sebagai saksi di mahkamah dan melaksanakan perancangan operasi penguatkuasaan dan CARILAMAT yang berkesan dan terancang.

Disamping itu, operasi turut diperkasakan melalui pengukuhan kerjasama strategik dengan agensi lain di dalam dan luar negara termasuk mengadakan pengurusan cekap seperti pengurusan kewangan, sumber manusia, perolehan dan segala yang berkaitan dalam operasi Maritim Malaysia secara langsung.

Penekanan teras tersebut juga dilakukan bersama teras yang ketiga dengan menjadikan Maritim Malaysia sebagai agensi yang kredibel dan berdaya saing bagi memastikan agensi sentiasa peka terhadap sebarang ancaman jenayah maritim, analisis dan penyelidikan.

Menurutnya, selain daripada ilmu pengetahuan di dalam bidang jenayah, pengetahuan yang tinggi juga diperlukan dalam bidang-bidang seperti International Relations bagi isu-isu Geopolitik, CARILAMAT, operasi penguatkuasaan serta pengurusan.

Majlis Perhimpunan Bulanan Maritim Malaysia yang diadakan secara ringkas itu turut dihadiri oleh pengarah-pengarah bahagian dan warga ibu pejabat, pegawai-pegawai kanan serta warga Maritim Negeri secara sidang video.

 

TOK MID 2
 
TOK MID 3
 
TOK MID 4
hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON