DUA BOT PUKAT DITAHAN LANGGAR SYARAT SAH LESEN

LANGKAWI, 3 November – Maritim Negeri Kedah dan Perlis berjaya menahan dua bot nelayan tempatan Kelas C2 dan C semasa menjalankan OP AMAN dan OP TIRIS 2.0 kerana melakukan aktiviti menangkap ikan di zon larangan, di sini semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksmana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, kedua-dua bot terbabit ditahan pada waktu dan kedudukan berlainan kerana menangkap ikan di bawah 15 batu nautika dan kru warga asing tidak mempunyai pas lawatan kerja sementara.

Bot pertama ditahan pada pukul 11.20 pagi di kedudukan 10.8 batu nautika Barat Daya Tanjung Belua. Manakala, bot kedua ditahan pada pukul 1.00 petang di kedudukan 7.4 batu nautika Barat Daya Tanjung Cincin.

Bot pertama yang ditahan adalah Kelas C2 yang membawa pukat jerut bersama 26 kru termasuk tekong. Kesemua kru adalah warganegara Thailand dan berumur lingkungan 29 hingga 55 tahun.

Empat daripada kru terbabit tidak mempunyai pas lawatan kerja sementara dan telah melanggar syarat sah lesen Jabatan Perikanan Malaysia.

Bot kedua yang ditahan adalah kelas C yang membawa pukat tunda bersama tiga kru warga tempatan. Tekong dan kru berumur dalam lingkungan usia 45 hingga 55 tahun. Bot kedua telah ditahan atas kesalahan langgar syarat sah lesen kerana menangkap ikan di bawah 15 batu nautika.

Kedua-dua bot tersebut bersama dua gulung pukat jerut dan pukat tunda, ikan campur 730 kg, dua tekong dan tiga kru ditahan dan dibawa ke Jeti APMM Negeri Kedah dan Perlis untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia.

Sebarang maklumat orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 atau talian kecemasan MERS 999 untuk tindakan segera.

 

WhatsApp Image 2023 11 03 at 11.36.29 AM   WhatsApp Image 2023 11 03 at 11.36.29 AM 1   WhatsApp Image 2023 11 03 at 11.36.30 AM   WhatsApp Image 2023 11 03 at 11.36.32 AM