MARITIM NEGERI KELANTAN GAGALKAN PENCEROBOHAN BOT NELAYAN ASING VIETNAM

PASIR PUTEH, 1 November – Maritim Negeri Kelantan berjaya menahan dan merampas sebuah bot dan lima nelayan asing Vietnam dalam OP DAMAI KHAS KUDA LAUT dan OP NAGA BARAT atas kesalahan menceroboh dan menangkap ikan di kawasan perairan Malaysia Isnin lalu.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Abdul Rahman berkata, KM JUJUR telah berjaya menahan bot terbabit pada jarak kira-kira 173 batu nautika daripada Tenggara Muara Tok Bali lebih kurang jam 9.20 pagi.

Menyedari kehadiran KM JUJUR, bot terbabit cuba mengelak dari ditahan dan meloloskan diri ke sempadan Vietnam. Adegan kejar-mengejar berlaku selama lebih satu jam sebelum KM JUJUR menahan bot itu dengan melakukan 'force boarding'.

Hasil pemeriksaan mendapati, seramai lima orang nelayan termasuk tekong berumur di antara 24 hingga 31 tahun berada di dalam bot itu.

Tambah beliau, hasil tangkapan bot berkenaan dianggarkan berjumlah 500 kilogram ikan campur dan 500 kilogram ikan baja. Turut dirampas ialah bot, peralatan menangkap ikan, navigasi dan komunikasi serta bekalan diesel 7,000 liter dengan anggaran nilai RM1.5 juta.

Bot dan lima nelayan warga Vietnam terbabit ditahan dan akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) dan Seksyen 16 (3) Akta Perikanan 1985 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran menangkap ikan di perairan Malaysia oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta gagal memaklumkan pegawai berkuasa melalui radio atau faksimili tentang nama negara, bendera, lokasi laluan dan destinasi vesel, dalam hal memasuki perairan negara.

Kesemua kru disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah. Jika sabit kesalahan, tekong boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM6 juta manakala setiap kru dikenakan RM600 ribu mengikut Seksyen 25 (a) Akta Perikanan 1985. Manakala bot dan peralatan menangkap ikan juga boleh dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

Bagi kes di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63, tekong dan kru boleh dihukum denda tidak lebih daripada RM10 ribu atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan hukuman sebatan tidak lebih enam kali sebatan.

 

BNA KELANTAN 2