24
Wed, Apr

BOT HANYUT KE FILIPINA | SUAMI ISTERI WARGA EMAS BERHADAPAN DETIK CEMAS

SANDAKAN, 1 November – Pasangan suami isteri warga emas berhadapan detik cemas selepas bot yang dinaiki mereka kehabisan minyak dan hanyut sehingga ke perairan Filipina ketika dalam perjalanan dari Terusan Sugut menuju ke Batu Putih, Sandakan.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin bin Mohd Zuki berkata, Md Asibih Tamang, 73, dan isterinya Fatima Ulo, 65, dilaporkan hilang selepas bertolak dari Kampung Terusan Sugut menuju ke rumah anaknya di Kampung Batu Putih dengan menaiki bot gentian kaca pada pukul 8.00 pagi, ahad lalu dan sepatutnya tiba dua jam kemudian.

Zainuddin berkata, apabila mendapati kedua-dua mereka tidak tiba pada waktu yang sepatutnya, menantu kepada pasangan terbabit, Midin bin Siran telah membuat laporan kepada pihak Maritim Malaysia tentang kehilangan pasangan itu.

Setelah mendapat laporan dari Pusat Operasi (PUSOP) Zon Maritim Sandakan, Martime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu telah mengaktifkan operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) pada pukul 6.30 petang hari yang sama.

Beliau menambah, walau bagaimanapun pencarian pasangan warga emas itu ditamatkan setelah mereka berdua dapat dihubungi dan dilaporkan berada dalam keadaan selamat di Pulau Mapun, Filipina kelmarin.

Mangsa telah diberikan bantuan oleh nelayan tempatan yang kemudiannya menghantar mereka pulang dengan menggunakan kapal nelayan dan diserahkan kepada pihak Maritim Malaysia di kawasan berhampiran Tanjung Pamaguan seterusnya dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk diserahkan kepada keluarga mereka semalam.

Mengulas lanjut bagaimana kedua-dua mereka hanyut hingga ke perairan Filipina, mangsa memaklumkan, mereka menuju ke Batu Putih dengan menjadikan Pulau Tikus sebagai panduan perjalanan namun telah tersesat sehingga bot kehabisan minyak berhampiran Pulau Lankayan.

Mereka kemudiannya mendapatkan bantuan petugas yang berada di Pulau Lankayan untuk mengisi minyak. Bagi mengelakkan daripada tersesat untuk ke destinasi yang dituju, petugas berkenaan menasihati mereka agar mengikuti sebuah kapal yang akan menuju ke Sandakan sebagai pandu arah.

Walaubagaimanapun, setelah beberapa ketika mengikuti kapal berkenaan, Md Asibih telah memintas kapal terbabit dengan alasan ia bergerak terlalu perlahan dan khuatir berlakunya ribut. Malangnya tindakan itu membuatkan mereka berdua tersesat dan kehabisan minyak semula sehingga hanyut ke Pulau Mapun, Filipina.

Berikutan kejadian itu Zon Maritim Sandakan mengingatkan kepada komuniti maritim agar patuhi langkah-langkah keselamatan sepanjang berada di laut bagi mengelak daripada berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.

Sekiranya berlakunya insiden di laut, orang ramai boleh terus menghubungi bilik operasi 24 jam Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau talian MERS 999.

 

HANYUT FILIPINA 4
 
 HANYUT FILIPINA 2
hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON