TERUS KEKAL KESIAPSIAGAAN MARITIM NEGERI KELANTAN DAN POS MARITIM PENGKALAN KUBOR

PASIR PUTEH, 25 Oktober – Maritim Negeri Kelantan dan Pos Maritim Pengkalan Kubor diminta untuk terus mengekalkan kesiapsiagaan dalam menjaga perairan Negeri Kelantan.

Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Hamid bin Haji Mohd Amin bersempena Program Tinjauan Kesiagaan Operasi beliau di Pantai Timur semalam.

Beliau memulakan tinjauan di sekitar kawasan operasi maritim di Pengkalan Kubor dengan menggunakan bot maritim PERKASA 1232 diiringi oleh PERKASA 1233 yang turut disertai oleh aset dan anggota dari agensi sahabat iaitu Pasukan Polis Marin (PDRM) dan Kastam Diraja Malaysia (KDRM).

Kunjungan beliau ke Pos Maritim Pengkalan Kubor juga disambut oleh wakil dari Royal Thai Police dan Thai Customs, agensi sahabat dari negara jiran yang turut memberikan sokongan dengan menyertai tinjauan di sekitar kawasan operasi tersebut.

Kunjungan ini juga antara lainya memberikan kesempatan untuk beliau berinteraksi secara langsung dengan kesemua anggota maritim di Kelantan selain dapat mendengar permasalahan yang dihadapi oleh anggota dalam melaksanakan tugas.

Pada sesi ucapan amanat yang telah disampaikan pada sesi perjumpaan berkenaan, beliau menegaskan kepentingan cara kerja yang sistematik dan menyeluruh serta hubungan baik diantara agensi dan pihak penguatkuasa lain yang berkaitan sama ada agensi dalam negara mahupun luar negara dalam memastikan fungsi Maritim Malaysia dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Menerusi kunjungan tersebut, beliau turut melawat Jeti Maritim Negeri Kelantan dan KM JUJUR di Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan.

Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada seluruh warga Maritim Negeri Kelantan dan Pos Maritim Pengkalan Kubor diatas kejayaan operasi sepanjang tahun lalu sehingga kini.

Turut sama hadir pada sesi lawatan berkenaan, Pengarah Bahagian Perisikan Maritim Malaysia, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi bin Abdullah, Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli bin Syed Ab Rahman, Timbalan Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim Malaysia, Kepten Maritim Muhammad Suffi bin Mohd Ramli serta beberapa pegawai kanan dari Ibu Pejabat Maritim Malaysia.

 

TKPO 2   TKPO 4   TKPO 11   TKPO 12