TIGA BOT NELAYAN VIETNAM ROMPAK HASIL PERIKANAN NEGARA DITAHAN

MERSING, 13 Oktober – Tiga buah bot nelayan asing (BNA) Vietnam bersama 37 kru telah ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Zon Maritim Mersing di kedudukan lebih kurang 15.1 batu nautika timur laut Pulau Aur kerana disyaki menceroboh dan merompak hasil laut lebih kurang jam 7.30 petang Rabu lalu.

Pengarah Maritim Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan bin Saadin berkata, tangkapan bot nelayan asing berkenaan dilakukan oleh bot ronda Maritim Malaysia dalam rondaan penguatkuasaan OP JAKSA dan OP TIRIS di sekitar perairan Mersing.

Tiga buah bot nelayan asing tersebut ditahan ketika sedang leka melakukan aktiviti menangkap hasil laut.

Pemeriksaan ke atas ketiga-tiga buah bot nelayan asing itu menggunakan nombor pendaftaran asing dari negara Vietnam dan dikendalikan oleh 37 kru termasuk tekong kesemuanya lelaki warga Vietnam berumur di antara 18 hingga 66 tahun tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.

Pemeriksaan lanjut mendapati, kesemua bot tidak mempunyai sebarang dokumen bertulis kebenaran melakukan aktiviti perikanan di perairan Malaysia.

Kesemua 37 kru telah ditahan beserta ketiga-tiga buah bot, peralatan menangkap ikan, hasil tangkapan lebih kurang 13 ribu kilogram serta lebih kurang 4 ribu liter bekalan diesel dirampas dan dibawa ke jeti Maritim Pos Teluk Gading untuk disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran dari Pengarah Perikanan Malaysia serta Akta Imigresen 1959/1963 kerana gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM2.5 juta.

 

VIETNAM ROMPAK   VIETNAM ROMPAK 2   VIETNAM ROMPAK 4   VIETNAM ROMPAK 6