OP CARILAMAT | MAYAT KRU BOT TUNDA LOW KIM CHUAN 18 JATUH LAUT DITEMUKAN

PELABUHAN KLANG, 5 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Maritim Negeri Selangor, mengesahkan penemuan satu mayat lelaki pada kedudukan sekitar perairan Tanjung Rhu, Selangor hari ini.

Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Negeri Selangor, Komander Maritim Mohd Sharenliza bin Ghazali berkata, Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) telah menerima maklumat berkaitan penemuan mayat daripada kru bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada pagi 11.46 pagi.

Bot Ronda BENTENG 02 yang sedang dalam OP CARILAMAT telah diarahkan ke lokasi untuk mengambil mayat tersebut. Mayat mangsa ditemukan lebih kurang 3.5 batu nautika dari lokasi mangsa jatuh laut.

Mayat kemudiannya dibawa ke PHC untuk proses pengecaman oleh agen bot tunda Low Kim Chuan 18 sebelum diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Banting untuk tindakan lanjut.

Pengecaman awal oleh agen bot tunda mengesahkan mayat berkenaan adalah Akhmad Rifai, 29, yang dilaporkan jatuh laut ketika membuat kerja-kerja penyelenggaraan di bot tunda Low Kim Chuan 18 pada Isnin lalu.

OP CARILAMAT yang diselaraskan oleh Maritim Malaysia pada hari keempat dengan menggunakan empat bot terdiri daripada Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Maritim Malaysia merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat dalam operasi ini.

OP CARILAMAT ditamatkan pada pukul 2.30 petang dan Pos PHC di Peninsular Sailing Club,Pulau Indah, Selangor telah ditutup.

Orang ramai dan komuniti maritim terutamanya diingatkan agar sentiasa mementingkan aspek keselamatan sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut dan cakna dengan keadaan cuaca.

Sebarang insiden kecemasan di perairan Selangor, orang ramai boleh menyalurkan maklumat menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-321760627 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

 

WhatsApp Image 2023 10 05 at 1.23.20 PM 1   WhatsApp Image 2023 10 05 at 1.25.24 PM 1   WhatsApp Image 2023 10 05 at 2.29.38 PM 1