PROGRAM INTERNATIONAL MICROPLASTIK BEACH CLEANUP

MERSING, 21 September – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Zon Maritim Mersing telah menyertai program jemputan rakan strategik bagi aktiviti komuniti Universiti Putra Malaysia (UPM) di Pulau Tioman pada jam 8.00 pagi semalam.

Timbalan Pengarah Operasi, Zon Maritim Mersing, Leftenan Maritim Mohd Firdaus bin Hamdan berkata, program yang telah berlangsung selama tiga hari bermula pada 18 September yang lalu, bertujuan bagi memastikan kebersihan perairan dan pantai Pulau Tioman bersih daripada pencemaran sampah dan sisa buangan dalam memastikan kelestarian biosistem laut di pulau tersebut lebih terjamin pada masa akan datang.

Program dirasmikan oleh Yang Berbahagia Laksamana Pertama Maritim Ahmad Faridi bin Ferdaus, Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Maritim Malaysia. Turut hadir dalam program ini ialah wakil dari peringkat antarabangsa seperti Australia, England, Perancis, German, Indonesia, Belanda, Nigeria, Singapura dan Amerika Syarikat, wakil-wakil jabatan serta lebih kurang 200 orang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tekek.

Antara program dilaksanakan termasuklah ceramah webinar Journey of Microplastic : From Japan to Antartica dan Beyond to Malaysia, kuiz kesedaran mikroplastik, senamrobik, Underwater Clean Up, pembersihan pantai, pengasingan dan pengumpulan sampah, pameran sains forensik, dan pertandingan reka bentuk inovasi bahan terbuang oleh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tekek. Seramai lebih kurang 200 orang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tekek terlibat dalam program webinar Journey of Microplastic dan pertandingan reka bentuk inovasi terbuang.

Dalam program tersebut juga, sebanyak 98.6 kilogram sampah dan bahan buangan berjaya dikumpulkan dalam program pembersihan pantai yang dijalankan.

Turut menjayakan aktiviti ialahProfesor Leigh Schmidtke, Agriculture, Water and Environment dari Universit Charles Sturt, Australia dan Profesor Haruka Nakano, Center for Ocean Plastic Studies dari Universiti Kyushu, Jepun serta Pengarah Kimia Pahang, Encik Haji Shafek Hamlan Abdul Hamid, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Pahang, Encik Mohamad Anuar Bin Roslan, Pengarah Reef Check Tioman, Puan Nurasfarlela binti Khamis, Pengarah Alam Flora, Puan Azliana binti Khamis, dan Pengarah Jabatan Laut Malaysia, Encik Burhanuddin bin Jusoh.

 

CLEANUP BEACH
 
CLEANUP BEACH 5
 
CLEANUP BEACH 2
 
CLEANUP BEACH 3